Kuala Lumpur : Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai kaitan dengan seminar antihadis Dr Kassim Ahmad yang mencetuskan kontroversi sehingga Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membuka kertas siasatan.
Pihak berkuasa agama itu menjelaskan, tidak ada keperluan untuk memanggil Dr Mahathir dalam isu berkenaan, sebaliknya JAWI sedang berusaha untuk mengenal pasti penganjur seminar kontroversi itu.
Pengarah JAWI, Paimuzi Yahya, berkata pihaknya kini sedang mengumpul bukti berhubung seminar berkenaan dan akan memanggil Kassim secepat mungkin bagi mendapatkan penjelasan serta menjalankan siasatan.
"Dr Mahathir tidak terbabit dalam isu ini, Yayasan Perdana bukanlah penganjur kepada seminar itu, sebaliknya kami sedang mengenal pasti penganjur kepada seminar tertutup itu.
"Oleh itu kita minta sesiapa yang ada bukti maklumat mengenai seminar berkenaan menyalurkannya kepada JAWI bagi membolehkan siasatan dan tindakan diambil," katanya ketika dihubungi BH, semalam.
Semalam akhbar melaporkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengarahkan JAWI mengambil tindakan terhadap Kassim kerana mempertikai hadis yang boleh membawa kekeliruan umat Islam di negara ini.
Undang kontroversi
Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Satu Penilaian mengundang kontroversi apabila mempertikai hadis, selain meletakkan ulama Islam setaraf paderi Kristian.
Selain itu, Kassim pada sesi seminar turut mempertikai dua kalimah syahadah sebagai mendewa-dewakan Nabi Muhammad SAW, selain mempersoal rambut sebagai aurat wanita dan memperlekeh wanita yang berhijab.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Tan Sri Dr Abd Shukor Husin berkata, dialog antara Kassim dan tokoh agama lebih mendatangkan kemudaratan berikutan sikap penulis buku Hadith:Satu Penilaian Semula itu yang sukar menerima pandangan orang lain.
Sebaliknya beliau berkata, dalam usaha menyelesaikan kontroversi terbaru itu, pihak berkuasa agama negeri disaran mewartakan dan menguatkuasakan fatwa diputuskan di peringkat kebangsaan pada 1986 yang mengharamkan buku berkenaan.
Tidak berganjak daripada pendirian
Katanya, Kassim yang dikenali adalah individu yang tidak akan berganjak daripada pendirian dan menganggap mereka yang menentang pandangannya adalah golongan yang tidak ada pengetahuan agama.
"Kita minta pihak berkuasa agama negeri mengambil tindakan tegas dan dengan segera menguatkuasakan fatwa kerana ketika ini Islam ditekan daripada pelbagai semua sudut," katanya.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang pula berkata, siasatan dan tindakan sama ada mengikut undang-undang sivil atau syariah terhadap Kassim perlu dilakukan segera berikutan pemikiran yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
"Jika isu itu tidak dibendung, dikhuatiri akan ada pula individu yang mempertikaikan penulisan al-Quran kerana kitab suci itu hanya ditulis selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW," katanya.
Beliau berkata, Kassim berasakan pemikirannya tidak menyeleweng kerana tiada tindakan undang-undang dikenakan terhadapnya walaupun sudah mencabar undang-undang sejak 1980-an lagi.
Sumber artikel : Berita Harian - 21 Februari 2014
No comments:
Post a Comment