Dhaka: Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina menafikan rakyat negaranya digunakan sebagai pengundi hantu bagi memenangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Mei lalu.
Hasina menyatakan ketegasannya kepada Datuk Seri Najib Razak dalam pertemuan sempena lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri ke Bangladesh, yang berakhir semalam. Malah, Najib yang memaklumkan perkara itu kepada media Malaysia, secara sinis memaklumkan selain mengeratkan hubungan dua hala dan kerjasama Malaysia-Bangladesh, kunjungannya juga untuk 'mencari dan mengucapkan terima kasih kepada 40,000 rakyat Bangladesh' yang dikatakan telah mengundi BN dalam pilihan raya itu.
"Nampaknya misi yang kedua ini gagal sebab saya tak dapat jumpa 40,000 rakyat Bangladesh yang dikatakan mengundi BN. Perdana Menteri Bangladesh pun menggeleng kepala kepada saya... dia kata tak mungkin perkara ini berlakusebab jika nak jadi pengundi mesti menjadi warga Malaysia.
" Beliau kata memang tak ada kita memberi 40,000 kewarganegaraan kepada warga Bangladesh. Jadi, pokoknya satu misi (lawatan ke Bangladesh) amat berjaya dan satu misi lagi gagal sebab tak dapat ucap tahniah kepada mereka," katanya.
Najib berkata Hasina turut menyifatkan lawatannya berhasil dengan tekad menterjemahkan rasa kebersamaan rakyat kedua-dua negara dalam bentuk kerjasama semakin meningkat dan lebih luas.
Teliti bidang berpotensi
Hasina turut memaklumkan beberapa bidang berpotensi bagi pelaburan Malaysia di negara itu seperti infrastruktur, penjanaan kuasa, hospitaliti, telekomunikasi, pendidikan dan industri gas yang akan diteliti lebih lanjut.
Sementara itu, Najib berkata Malaysia-Bangladesh sependapat pelaksanaan kemasukan pekerja republik itu ke Malaysia melalui memorandum persefahaman (MoU) perbekalan tenaga kerja asing antara kerajaan dengan kerajaan bermula tahun ini, belum memuaskan.
Malah, katanya, wujud dakwaan ada pihak swasta, kebanyakannya di Bangladesh masuk melalui kaedah itu kerana tidak menguntungkan mereka.
"Kedua-dua pihak maklum ia belum memuaskan dari segi pelaksanaan. Setakat ini hanya 718 pekerja Bangladesh masuk ke Malaysia melalui kaedah itu.
"Kedua-dua kerajaan berharap kaedah ini digunakan kerana ia menjamin pekerja masuk secara betul, mengikut peraturan dan tidak dibebankan pembayaran yang begitu tinggi. Maknanya, pihak swasta yang mengeksploitasi pekerja tidak akan berlaku jika menggunakan kaedah MoU yang ditandatangani," katanya.
Sumber : BH, 20 November 2013
No comments:
Post a Comment