Sumber artikel: Berita Harian 10 Sept 2013
Sittwe (Myanmar): Malaysia dan Indonesia menjadi dua destinasi pilihan pelarian Rohingya dari Myanmar untuk mencari perlindungan. Kebanyakan yang ditemubual oleh BH di kem pelarian , terletak di kawasan sawah padi, di pinggir Sittwe di sini mendakwa dua negara itu menjadi pilihan kerana faktor negara Islam, selain mempunyai saudara mara atau kenalan yang tinggal di negara terbabit sejak bertahun lalu.
Nor Amin Muhamad Amin,25, memberitahu bagaimana beliau menerima gambaran positif mengenai Malaysia sebagai negara Islam maju dan bersimpati kepada etnik Rohingya. Katanya, badan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia dan Indonesia juga ada datang ke Myanmar untuk memberikan bantuan kepada mereka.
"Kalau boleh saya mahu kerja di Malaysia cari kehidupan baru," katanya yang berniaga kecil-kecilan di warung kopi Kem Baw Dhu Pa yang menempatkan 17,000 pelarian Muslim Rohingya di sini.
Penulis mendapati Kerajaan Negeri Rakhine memisahkan penduduk Rakhine Buddha dengan etnik Rohingya selepas konflik memuncak hujung tahun lalu yang menyebabkan 140,000 orang menjadi pelarian dengan kira-kira 200 terbunuh dan ratusan cedera.
Dilarang ke bandar
Setiap keluarga Rohingya tinggal dalam bilik berdindingkan buluh dan beratapkan zink dengan keluasan lima meter panjang dan lima meter lebar di kem pelarian. Mereka dilarang ke kawasan bandar yang kini hanya dihuni etnik Rakhine beragama Buddha.
Sepanjang perjalanan masuk dari Sittwe ke kawasan penempatan, pelarian juga dikawal anggota polis dan tentera yang memeriksa dokumen perjalanan mana-mana individu yang memasuki kawasan itu.
Pelarian Rohingya yang berasal dari Nazi, Sittwe, Mohd Jamil, 48, memberitahu kebanyakan pelarian masih hidup susah dan bergantung harap kepada bantuan asing.
Katanya, melarikan diri ke Bangladesh yang juga jiran terdekat Myanmar di sebelah barat, bukan lagi pilihan majoriti etnik Rohingya.
"Bangladesh pun negara miskin. Rakyat dia pun tak cukup makan, tempat tinggal," katanya yang pernah menetap lebih 10 tahun di Malaysia ketika zaman mudanya sebelum kembali ke Myanmar pada 2003.
Ketika ini, Kerajaan Myanmar masih membuka ruang kepada badan kemanusiaan untuk menghulurkan bantuan kepada etnik Rohingya dan Rakhine yang menjadi mangsa perbalahan kaum itu, tetapi ruang sama tidak diberi kepada media asing.
p/s: Berita ini adalah yang tulen disalin terus dari berita asal tanpa ada sebarang editing sama ada ditambah, dikurang atau diubah isi artikel ini..
No comments:
Post a Comment