Pages

Tuesday, 25 March 2014

Kerajaan Tetap Teruskan Projek MRT Kajang

Sumber : Berita Harian, 25 Mac 2014

Kuala Lumpur: Projek pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) di Kajang akan tetap diteruskan walaupun Barisan Nasional (BN) gagal memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, berkata projek laluan Sungai Buloh-Kajang dirancang untuk kepentingan rakyat.
"MRT Kajang tidak boleh dihentikan sebab sedang berjalan tetapi pembangunan baharu saya kira rakyat Kajang pun tak mohon.

Terima keputusan
"Namun, jika menang (PRK Kajang), semalam (kelmarin), tentunya ada perkara baharu tambahan datin Paduka Chew Mei Fun seorang yang rajin. Apapun, kita menerima keputusan ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam.
Beliau turut menyangkal dakwaan pembangkang yang mendakwa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak berlaku adil pada PRK itu.
"Jika SPR tidak adil, BN sudah menang  di Kajang. Bagaimanapun keputusan itu telus. Tuduhan pembangkang yang SPR tidak adil tidak pula kedengaran (sebaik pengumuman)," katanya.
Mengulas mengenai kekalahan di PRK Kajang, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, berkata BN sudah memberikan yang terbaik walaupun menyedari DUN Kajang bukan lagi kubu kuat BN sejak tahun 2008.
"Kami sudah berusaha yang terbaik walaupun sebelum ini mereka sebut nak hilangkan deposit dan mahu mencapai majoriti sehingga 10,000 yang akhirnya tidak menjadi kenyataan.
"Bagaimanapun, kami berjaya menurunkan majoriti mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 dan mereka tidak boleh mendabik dada dengan majoriti yang sudah berkurang," katanya.
Ahmad menegaskan, PRK Kajang turut menyaksikan peratusan undian kaum Cina semakin meningkat kepada BN dengan 25 peratus berbanding 18 peratus pada PRU lalu.
"Kami tentunya akan membuat kajian secara terperinci (kekalahan) PRK Kajang, sebagai persediaan pada masa depan," katanya.

No comments:

Post a Comment