Pages

Tuesday 25 March 2014

BUKTI RAKYAT SELANGOR SOKONG PEMBANGKANG

Sumber : Berita Harian, 25 Mac 2014

Shah Alam: Kemenangan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang membuktikan rakyat Selangor terus memberikan sokongan terhadap pembangkang.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kemenangan itu membuktikan rakyat yakin dengan pentadbiran yang telus, bertanggungjawab dan penuh integriti kerajaan Selangor.

Khalid ucap tahniah
"Saya mengucapkan tahniah kepada Dr Wan Azizah atas kemenangan di PRK Kajang. Syabas juga diucapkan kepada pengundi Kajang kerana membuat pilihan yang bijak dengan sekali lagi memilih Pakatan Rakyat untuk menjadi suara mereka di DUN Selangor.
"Jelas di sini bahawa rakyat menolak kempen agresif dan provokatif yang penuh dengan unsur keganasan serta bibit perpecahan. Penurunan peratus keluar mengundi kepada 72.1 peratus daripada 88.4 peratus pada Pilihan Raya Umum 13 (PRU13) adalah perkara biasa dalam sebarang PRK yang secara tidak langsung mengakibatkan penurunan majoriti.
"Namun, ia tidak bermakna kemenangan ini tiada impak signifikan kepada rakyat dan negeri," katanya. 

Kerajaan Tetap Teruskan Projek MRT Kajang

Sumber : Berita Harian, 25 Mac 2014

Kuala Lumpur: Projek pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) di Kajang akan tetap diteruskan walaupun Barisan Nasional (BN) gagal memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, berkata projek laluan Sungai Buloh-Kajang dirancang untuk kepentingan rakyat.
"MRT Kajang tidak boleh dihentikan sebab sedang berjalan tetapi pembangunan baharu saya kira rakyat Kajang pun tak mohon.

Terima keputusan
"Namun, jika menang (PRK Kajang), semalam (kelmarin), tentunya ada perkara baharu tambahan datin Paduka Chew Mei Fun seorang yang rajin. Apapun, kita menerima keputusan ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam.
Beliau turut menyangkal dakwaan pembangkang yang mendakwa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak berlaku adil pada PRK itu.
"Jika SPR tidak adil, BN sudah menang  di Kajang. Bagaimanapun keputusan itu telus. Tuduhan pembangkang yang SPR tidak adil tidak pula kedengaran (sebaik pengumuman)," katanya.
Mengulas mengenai kekalahan di PRK Kajang, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, berkata BN sudah memberikan yang terbaik walaupun menyedari DUN Kajang bukan lagi kubu kuat BN sejak tahun 2008.
"Kami sudah berusaha yang terbaik walaupun sebelum ini mereka sebut nak hilangkan deposit dan mahu mencapai majoriti sehingga 10,000 yang akhirnya tidak menjadi kenyataan.
"Bagaimanapun, kami berjaya menurunkan majoriti mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 dan mereka tidak boleh mendabik dada dengan majoriti yang sudah berkurang," katanya.
Ahmad menegaskan, PRK Kajang turut menyaksikan peratusan undian kaum Cina semakin meningkat kepada BN dengan 25 peratus berbanding 18 peratus pada PRU lalu.
"Kami tentunya akan membuat kajian secara terperinci (kekalahan) PRK Kajang, sebagai persediaan pada masa depan," katanya.

FBI Siasat Isteri Kapten Zaharie

Sumber : Berita Harian, 25 Mac 2014

Kuala Lumpur: Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dilaporkan akan menyiasat isteri Kapten Zaharie Ahmad Shah, Faizah Khanum Mustafa Khan, berhubung kehilangan pesawat MH370.
Menurut sumber FBI yang dipetik portal media antarabangsa, Faizah perlu disoal siasat berikutan pelbagai kemungkinan mengenai kejadian berkenaan.
Memetik sumber agensi perisikan itu, FBI sudah hampir menyelesaikan siasatan ke atas pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid, 27, dan mendapati tiada kegiatannya mencurigakan setakat ini.
"Tiada apa yang boleh dikaitkan dengan Fariq bagi mengaitkannya dengan motif rampasan pesawat. Bagaimanapun kehidupan peribadi Zaharie lebih kompleks dan kami dalam proses mendapatkan maklumat lanjut mengenainya," katanya seperti disiarkan portal berita itu, semalam.
Difahamkan, Zaharie menjadi fokus utama berikutan beliau dilaporkan berhadapan masalah dengan isterinya walaupun mereka masih tinggal bersama.
Selain itu, sokongannya ke atas pemimpin parti politik pembangkang juga menyebabkan latar belakangnya menjadi perhatian.

SAR dibatasi kerahsiaan teknologi ketenteraan

Sumber artikel: Oleh Luqman Arif Abdul Karim
Barita Harian, 25 Mac 2014

Kuala Lumpur - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS) berdepan cabaran kerahsiaan teknologi serta kemampuan ketenteraan sebenar pelbagai begara khususnya kuasa besar.
Walaupun ketika ini, operasi menjejaki pesawat yang hilang sejak 8 Mac itu disokong satelit beresolusi tinggi milik China, Perancis dan Australia, yang disifatkan multinasional, hakikatnya usaha mengesan petunjuk berkaitan MH370 boleh dipertingkatkan.

Kemampuan tersembunyi
Namun, satelit ketenteraan, radar berfrekuensi tinggi dan kekuatan artileri, lazimnya adalah kemampuan tersembunyi serta aset bernilai negara, kerana teknologi sedemikian penentu barisan pertahanan.
Pensyarah Kanan Teknologi Geoinformatik, Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Alias Mohd Sood, berkata lebih 50 satelit berlegar di angkasa yang digunakan sebagai pemancar telekomunikasi dan Sistem Penentu Sejagat (GPS).
Selain itu, katanya, pelancaran satelit melepasi atmosfera dan mengelilingi orbit bumi juga dilaksana untuk tujuan komersial dan ketenteraan.

Rahsia sulit
"Satelit tentera mempunyai keupayaan mengesan objek sekecil 10 sentimeter, adalah rahsia sulit dan mustahil untuk didedahkan kepada umum, kerana ia mampu mengundang serangan 'musuh'.
"Saya percaya ada segelintir (negara kuasa besar) yang berkeupayaan mengesan lokasi terakhir MH370 dan serpihan pesawat terbabit jika mereka menggunakan teknologi 'rahsia' itu," katanya kepada BH, semalam.
Alias yang juga berpengetahuan luas dalam bidang hyperspectral iaitu teknologi alternatif dalam SAR, berkata ini kerana satelit tentera mampu bergerak daripada paksi asal ke koordinat tertentu untuk mencerap imej.
katanya, kebolehan itu disokong pula dengan transmisi data berkelajuan tinggi dan tepat, iaitu keupayaan tidak dimiliki satelit komersial yang kini giat digunakan dalam operasi SAR bagi menjejaki MH370.
"Setakat ini, satelit komersial tercanggih adalah Radarsat milik Kanada, dengan kemampuan mengesan objek walaupun tenggelam di dalam laut hampir 30 meter.
"Syarikat pengeluar dan pengedar satelit komersial dunia, Digital Globe, milik Amerika Syarikat, pula dikenali dengan kepelbagaian satelit berteknologi tinggi seperti Quickbird serta World View 2 tetapi keupayaannya masih terhad berbanding satelit ketenteraan," katanya.
mengulas kemampuan satelit komersial yang terhad itu, beliau berkata, imej dirakamkan akan kelihatan kabur sekiranya pencerapan dibatasi kepulan awan tebal atau tiada cahaya matahari.
Katanya, keadaan itu berlaku kerana satelit komersial jenis pasif, menggunakan tenaga cahaya matahari yang dipantulkan sebarang objek sebelum data disimpan dan diproses.

Satelit pasif
"Sebab itu SAR yang ketika ini menggunakan bantuan satelit pasif tidak boleh beroperasi pada waktu malam, sebaliknya bersandarkan pemantauan mata kasar oleh anggota penyelamat.
"Satelit aktif seperti Envisat (milik Kesatuan Eropah) dan Radarsat pula boleh beroperasi tidak mengira waktu dan mampu menembusi kepulan awan tebal tetapi setakat inikhidmat mereka kelihatan belum digunakan," katanya.
 

 








Monday 24 March 2014

Kronologi Kehilangan MH370 pada 8 Mac 2014

Sumber : Berita Harian, 25 Mac 2014

  • 12.41 pagi - Pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS) bersama 239 penumpang termasuk 12 kru, berlepas dari KLIA.
  • 1.01 pagi - MH370 melewati ruang udara Taman Negara di Pahang ke arah pantai timur.
  • 1.07 pagi - MH370 menghantar transmisi isyarat Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS) terakhir sebelum dimatikan.
  • 1.19 pagi - Pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid, ucapkan "All right. Good Night" kepada pengawal trafik udara Malaysia, yang menghubungi MH370 memaklumkan pemantauan radar diserahkan kepada Vietnam.
  • 1.21 pagi - Transponder MH370 yang menghantar isyarat lokasi dan altitud, dimatikan dan tidak dapat dikesan oleh radar awam.
  • 1.22 pagi - Pengawal trafik udara Vietnam mendapati mereka hilang perhubungan dengan MH370.
  • 2.15 pagi - Radar TUDM Malaysia mengesan MH370 di utara Selat Melaka.
  • 2.16 pagi - 8.11 pagi - Satelit INMARSAT pada ketinggian 22,245 batu dari Lautan Hindi, menerima enam isyarat berbalas MH370 sebelum pesawat itu hilang tanpa jejak.
  • 8.11 pagi - Isyarat terakhir MH370 dikesan INMARSAT, selepas tujuh jam 31 minit pesawat itu berlepas. Ia dipercayai berada di antara dua koridor iaitu dari Utara Thailand ke Kazakhstan dan sepanjang Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi. 

KRONOLOGI NAHAS MH370

Sumber : Berita Harian, 25 Mac 2014

> 8 Mac
  • Pesawat MH370 hilang dari radar jam 1.22 pagi, ketika memasuki ruang udara Vietnam di Laut China Selatan.
  • Usaha menjejaki MH370 bermula sebaik kehilangannya disahkan jam 2.40 pagi oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA).
  • Pengumuman rasmi kehilangan MH370 dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
  • Hari pertama SAR membabitkan 15 pesawat TUDM dan 9 kapal TLDM serta APMM.
  • Dua lelaki disenaraikan sebagai penumpang MH370 yang hilang, disahkan tidak menaiki pesawat itu, sebaliknya pasport mereka digunakan individu lain.
> 9 Mac
  • Pesawat MH370 dipercayai berpatah balik.
  • Kawasan SAR diperluaskan ke perairan utara Pulau Pinang babitkan 34 pesawat dan 40 kapal dan kawasan diperluaskan 50 batu nautika.
  • Dua penumpang misteri dilaporkan beli tiket di Pattaya, Thailand sebelum masuk Malaysia melalui jalan darat.
  • FBI dan INTERPOL tampil bantu siasatan 2 penumpang misteri.
  • DCA nafi kegagalan 5 penumpang menaiki MH370, ada kaitan kehilangan pesawat.  
  •  
> 10 Mac
  • SAR diperluaskan ke Selat Melaka meliputi perairan Pulau Perak, termasuk Laut Andaman dan perairan Sumatera.
  • DCA mengesahkan MH370 tiada masalah mekanikal sejam pertama penerbangannya.   
> 11 Mac
  • Empat aspek disiasat PDRM berhubung kehilangan MH370 iaitu rampasan, sabotaj, masalah psikologi serta konflik penumpang dan kru pesawat.
  • Penumpang misteri dikenal pasti sebagai warga Iran, Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19 dan Delavar Seyed Mohammad Eriza, 29.
  • China aktifkan 10 satelit beresolusi tinggi kesan pesawat.
> 12 Mac
  • TUDM sahkan kesan pesawat tidak dikenali pada kedudukan 200 batu nautika di barat laut Pulau Pinang, jam 2.15 pagi pada 8 Mac.
  • DCA dan MAS sahkan MH370 dalam keadaan baik sebelum dibenarkan terbang.
  • SAR meliputi kawasan seluas 27,000 batu nautika persegi.
> 13 Mac
  • Rolls Royce dan Boeing nafi MH370 terbang 4 jam selepas hilang dari radar.
  • Satelit pengintip AS tidak kesan letupan selepas pesawat hilang.
  • China akui silap siar imej 3 objek didakwa serpihan pesawat.
  • Maklumat radar tentera negara dikongsi dengan FAA dan NTSB.
> 14 Mac
  • SAR diperluaskan ke Lautan Hindi - Tiada petanda MH370 dirampas pengganas.
> 15 Mac
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tampil membacakan kenyataan.
  • Mengesahkan transponder pesawat sengaja dimatikan, manakala ACARS dimatikan sebelum MH370 sampai di pantai timur Semenanjung.
  • MH370 disahkan menukar arah dan sengaja diterbangkan di luar kawasan liputan radar tentera.
  • PDRM turut ambil simulator susulan pemeriksaan di rumah juruterbang MH370 dan pembantunya. Siasatan juga merangkumi profil penumpang dan kru.
  • DCA rumuskan MH370 berada di koridor utara merangkumi sempadan Kazakhstan, Turkmenistan dan Thailand, manakala koridor selatan dari Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi. 
> 16 Mac
  • Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tolak dakwaan MH370 mendarat di pangkalan tentera udara AS, Diego Garcia.
  • SAR pada dua koridor membabitkan bantuan 25 negara.
  • PDRM siasat kehilangan MH370 mengikut Seksyen 130(c) Kanun Keseksaan dan Akta Penerbangan.
  • MAS mengesahkan MH370 boleh terbang untuk 8 jam.
> 17 Mac
  • Malaysia hantar Nota Diplomatik kepada semua negara terbabit SAR -SAR di korodor selatan mula digerakkan Malaysia, Australia dan Amerika Syarikat.
> 18 Mac
  • 9 negara dari luar koridor SAR tampil tawar bantuan.
  • SAR koridor utara dibahagikan kepada 7 pecahan dengan setiap satu bersaiz 160,000 batu nautika persegi.
> 19 Mac
  • FBI menganalisis simulator Kapten Zaharie Ahmad Shah.
  • Polis dapati log dalam simulator dipadamkan 3 Februari lalu.
  • Simulator mengandungi tiga permainan penerbangan.
> 20 Mac
  • Objek 24 meter dan 5 meter yang dikesan satelit Australia pada 16 Mac lalu gagal ditemui.
> 21 Mac
  • SAR di koridor utara akan dimulakan 22 Mac.
  • Simulator dibawa ke luar negara untuk siasatan.
> 22 Mac
  • Satelit China kesan objek 22.5 x 13 meter, 120 kilometer dari objek pertama dikesan satelit Australia.
  • Transkrip komunikasi antara juruterbang dengan menara kawalan tiada keraguan.
> 23 Mac
  • Satelit Perancis kesan beberapa objek, 850 kilometer utara kawasan SAR sejak 18 Mac lalu.
  • Polis nafi juruterbang terima panggilan daripada telefon tidak berdaftar sebelum pesawat berlepas, 8 Mac.
> 24 Mac
  • Pesawat SAR Australia kesan objek berbentuk bulat dan segi empat di kawasan selatan Lautan Hindi.
  • Pakar satelit INMARSAT dan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) United Kingdom, merumuskan penerbangan MH370 MAS berakhir jauh daripada sebarang lokasi pendaratan di selatan Lautan Hindi. Pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, jam 10 malam. 
 

MISTERI KEHILANGAN MH370 TERUNGKAI

>> Inmarsat temui petunjuk lebih kukuh laluan terakhir di tengah Lautan Hindi

Kuala Lumpur - Misteri kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370 sejak 17 hari lalu terungkai apabila disahkan terhempas di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat daya Perth.
Berita menyanyat hati itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi dan disiarkan secara langsung ke seluruh dunia.
Pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 227 penumpang dan 12 kru itu, dilaporkan hilang ketika penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lalu.
MH370 meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) pada jam 12.41 tengah malam sebelum gagal dikesan menara kawalan mulai jam 1.23 pagi.
Berikut adalah kenyataan penuh Perdana Menteri:
"Malam ini, saya diberi taklimat oleh wakil Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) United Kingdom. Mereka memaklumkan bahawa Inmarsat, syarikat penyedia data satelit di UK yang memberi petunjuk berhubung koridor utara dan selatan, telah melakukan penilaian terperinci terhadap data yang diperoleh.

Petunjuk lebih kukuh
Mereka menggunakan kaedah analisis yang tidak pernah digunakan dalam mana-mana siasatan seperti ini. Hasilnya, mereka mendapat petunjuk lebih kukuh berhubung laluan penerbangan MH370.
Berdasarkan analisis baru ini, Inmarsat dan AAIB merumuskan pesawat MH370 terbang melintasi koridor selatan dan kedudukan terakhirnya ialah di tengah Lautan Hindi, di barat daya Perth.
Ini adalah lokasi terpencil, jauh daripada sebarang kawasan pendaratan. Justeru, dengan penuh rasa sedih dan kesal, saya ingin memaklumkan bahawa susulan maklumat terbaru ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Butiran terperinci hari ini
Kami akan mengadakan sidang media esok (hari ini) dengan butiran lebih terperinci. Sementara itu, kami ingin memaklumkan perkembangan terbaru ini seawal mungkin. Maklumat ini dikongsi atas dasar keterbukaan dan menghormati keluarga terbabit, dua prinsip yang menjadi panduan siasatan selama ini.
Penerbangan Malaysia sudah menemui semua keluarga penumpang dan kru terbabit bagi memaklumkan perkembangan ini. Bagi mereka, apa yang dilalui sejak beberapa minggu lalu amat memilukan. Saya tahu berita ini pasti lebih sukar diterima. Saya meminta pihak media menghormati privasi mereka dan memberi mereka ruang yang diperlukan dalam detik menyukarkan seperti ini."

Sumber : Berita Harian, 25 Mac 2014